KOTA BHARU: Hatrik Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menjadi pemusnah buat Kelantan Red Warrior FC (KRW) apabila Star City FC membenam pasukan itu 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Penyerang Star City itu meledakkan tiga gol untuk membantu skuad kendalian Mehmed Durakovic menguasai perlawanan, sekali gus memastikan pasukan pelawat pulang dengan kemenangan bergaya.

Pelawat mempamerkan aksi agresif sejak awal permainan apabila Douglas Oliveira menguji penjaga gol KRW, Amin Faisal Mohd. Saidi, menerusi percubaan seawal minit kedua.

Amin Faisal berjaya menafikan beberapa percubaan Oliveira, namun benteng tuan rumah akhirnya bocor pada minit ke-13 apabila Muhammad Nur Azfar menanduk masuk gol pembukaan pasukan pelawat.