ISU penginapan mahasiswa mungkin kelihatan seperti persoalan kebajikan kampus, tetapi hakikatnya ia berkait rapat dengan akses pendidikan, mobiliti sosial dan keadilan antara kelas.

Seorang mahasiswa memperoleh tempat di universiti awam (UA), tetapi terpaksa menanggung sewa tinggi, kos pengangkutan dan ketidakpastian tempat tinggal sebenarnya belum menikmati akses pendidikan benar-benar setara.

Atas sebab itu, keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap masalah penginapan mahasiswa wajar diberikan penghargaan.

Lebih penting, perhatian itu tidak berhenti pada kenyataan simpati, tetapi terus diterjemahkan kepada arahan dasar, pembabitan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan akhirnya pelaksanaan projek dalam tempoh yang pantas.