JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri menyeru negara anggota ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar bagi memperkukuh tindakan pengawalan dan pencegahan kebakaran serta pemantauan titik panas pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata perkara itu dibincang dalam Mesyuarat Penyelarasan Bencana Peringkat Negeri yang turut memberi perhatian terhadap risiko jerebu rentas sempadan susulan aktiviti titik panas di Indonesia.

Beliau berkata Johor berdepan episod jerebu sejak 25 Ogos lalu dengan beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

"Keadaan ini amat membimbangkan, khususnya terhadap kesihatan dan kehidupan seharian rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.