Iskandar Puteri: Beregu campuran negara, Liew Xun-Nicole Tan gagal meneruskan kemaraan dalam Kejohanan Badminton ALLIANZ Malaysia Super 100 2026 selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Melati Daeva Oktavianti, pada aksi suku akhir di Arena Tertutup, Kompleks Sukan EduCity, hari ini.
Pasangan negara itu tewas straight set 13-21, 6-21 kepada lawan yang lebih berpengalaman, sekali gus menyaksikan cabaran mereka berakhir di peringkat suku akhir.
Liew Xun mengakui pengalaman dimiliki pasangan Indonesia itu menyukarkan mereka mendapatkan rentak permainan sendiri, selain gagal mengawal tempo perlawanan dengan baik.
"Saya rasa mereka lebih berpengalaman dan kami agak sukar untuk mendapatkan rentak permainan sendiri kerana mereka berjaya mengawal tempo perlawanan. Kami perlu lebih bersabar dan mengawal emosi dengan lebih baik ketika berada di gelanggang," katanya.









