KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Kang Khai Xing memilih untuk tidak terus menoleh ke belakang selepas terpaksa berpisah dengan gandingannya, Aaron Tai bagi baki saingan musim ini, sebaliknya mahu menjadikan perubahan itu sebagai peluang menguji kemampuan bersama pasangan baharu, Lok Hong Quan.

Walaupun mengakui keputusan berkenaan sedikit mengecewakan selepas mereka berjaya membina momentum hingga menembusi kelompok 20 terbaik dunia, pemain kelahiran Kelantan itu kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada tugas baharu yang menantinya.

Khai Xing mengakui bukan mudah untuk menerima perpisahan itu memandangkan dia dan Aaron sudah melalui proses panjang untuk mencapai kedudukan berkenaan, namun enggan membiarkan kekecewaan tersebut mengganggu fokusnya.