KUALA LUMPUR: Meskipun kecewa selepas gandingannya bersama Aaron Tai dipisahkan, namun Kang Khai Xing tetap menyahut cabaran ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi untuk meningkatkan tahap permainannya.
Pemain berusia 20 tahun berasal dari Kelantan itu kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kecergasan fizikal sebagai persediaan untuk kembali bergandingan dengan Aaron sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.
"Saya sedikit kecewa selepas dipisahkan dengan Aaron. Bagi tempoh dua atau tiga minggu kebelakangan ini, saya memberi tumpuan kepada keadaan fizikal, khususnya kepantasan dan kuasa di gelanggang. Setakat ini, saya rasa ada peningkatan," katanya selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.






