KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Kuching City FC tidak gentar berdepan kelab gergasi rantau ini apabila saingan musim baharu merebut Piala Shopee itu membuka tirai, esok.
Pertahanan Kuching City, Rodney Celvin percaya pasukannya mempunyai peluang untuk mencipta kejutan pada penampilan sulung dalam edisi ketiga kejohanan berkenaan, di mana anak didik Aidil Sharin Sahak bertemu Tampines Rovers di Kuching.
Rodney, 29, berkata Kuching City mahu membuktikan pasukan yang dianggap kecil juga mampu bersaing dan memberikan tentangan sengit kepada kelab ternama di pentas ASEAN.
"Beraksi menentang pasukan gergasi ini, kami benar-benar mahu membuktikan sesuatu bahawa pasukan yang lebih kecil juga mampu bersaing di pentas ASEAN dan memberikan tentangan kepada kelab besar," katanya.








