JASIN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung kerusi yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau yang mesra disapa Dira berkata, walaupun sudah menyatakan hasrat menawarkan diri bertanding di tempat sama, beliau terbuka jika kepimpinan parti mempunyai perancangan berbeza.
"Saya sudah menyatakan hasrat untuk menawarkan diri bertanding di tempat sama, tapi kalau tempat lain, kita tunggulah bagaimana keadaan semasa.
"Saya tidak mahu bagi syarat kerana kita sebagai pemimpin juga kena belajar menjadi pengikut yang baik," katanya ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Menurutnya, DUN Rim mempunyai pelbagai potensi yang boleh diketengahkan termasuk produk tempatan, pelancongan dan aktiviti ekonomi bagi membantu meningkatkan kehidupan penduduk.






