Kuala Lumpur: Kedatangan Wali Band bagi konsert Wali Exclusive One Night Only di Megastar Arena, di sini, pada 21 November depan terus mencuri perhatian apabila kira-kira 70 peratus tiket sudah terjual.

Sambutan hangat ini menyusuli persembahan luar biasa kumpulan dari Indonesia ini pada konsert Wali Live In JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, yang menghimpunkan seramai 14,000 penonton.

Dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures, konsert Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada jam 8 malam dengan kapasiti terhad iaitu hanya 5,000 penonton.

Konsep persembahan eksklusif ini bagi memberikan peluang kepada peminat untuk menyaksikan Wali Band dalam sebuah acara yang lebih terhad.