Kuala Lumpur: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru semua pihak dalam ekosistem sukan negara supaya menghormati peranan pengamal media serta mengamalkan komunikasi secara profesional dalam menangani perbezaan pandangan dan kritikan.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata persatuan itu menghormati hak setiap individu termasuk atlet, jurulatih, pegawai dan pentadbir sukan untuk menyuarakan pandangan serta memberikan maklum balas terhadap sesuatu laporan.
Bagaimanapun, beliau berkata perbezaan pandangan perlu ditangani secara matang tanpa kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif atau berbaur penghinaan terhadap individu mahupun profesion kewartawanan sukan.
"Media bukan sekadar melaporkan keputusan pertandingan, tetapi turut menyampaikan maklumat, pandangan dan perkembangan yang membentuk pemahaman masyarakat terhadap sukan negara. Peranan ini perlu dihormati kerana media merupakan sebahagian daripada ekosistem yang menyokong pembangunan sukan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.









