PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Liew Xun-Nicole Tan terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Melati Daeva Oktavianti pada Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Liew Xun-Nicole tewas straight set kepada Rehan-Melati 13-21, 6-21 dan sekali gus meranapkan harapan mereka menjejakkan kaki ke separuh akhir, esok.

Sewaktu ditemu bual selepas perlawanan, Liew Xun berkata, pengalaman luas dimiliki beregu Indonesia itu menyukarkan mereka mencari rentak permainan sendiri.

“Mereka lebih berpengalaman dan kami sukar mendapatkan rentak sendiri kerana mereka mampu mengawal tempo permainan. Kami perlu lebih sabar dan mengawal emosi dengan lebih baik di gelanggang,” katanya.