KUALA LUMPUR: Seramai 100 kanak-kanak kurang bernasib baik menerima hidangan berkhasiat sepanjang Oktober menerusi sumbangan RM10,000 kepada Yayasan Dignity for Children Malaysia (Dignity) sempena Hari Makanan Sedunia.
Hektar Asset Management Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, sumbangan itu disalurkan bagi menyokong Program Hidangan Harian Dignity yang menyediakan makanan kepada kanak-kanak pada setiap hari persekolahan.
Hektar Asset Management ialah pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT). Syarikat itu berpandangan akses kepada pemakanan mencukupi penting dalam menyokong pembelajaran, perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak daripada komuniti terpinggir.
Menerusi program berkenaan, setiap kanak-kanak menerima satu hidangan utama yang seimbang serta snek dari Isnin hingga Jumaat. Semua makanan disediakan segar di dapur sekolah.








