TIANJIN (China): Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia, dengan China bertindak sebagai tuan rumah tetap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis berkenaan bertujuan menyediakan platform global yang berkekalan untuk memupuk kerjasama dalam pembangunan kemahiran, kemajuan teknologi dan tenaga kerja.

"Majlis ini akan bersidang setiap tahun untuk menghimpunkan negara, industri dan institusi bersama-sama dalam membentuk agenda global untuk masa depan kemahiran, teknologi dan pembangunan tenaga kerja," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengemukakan cadangan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di Tianjin Meijiang Convention and Exhibition Centre, di sini pada Jumaat.