KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dicadang menukar wakil mereka dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen sekiranya tidak berpuas hati dengan proses membuat keputusan yang didakwa tidak adil kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan melalui majlis berkenaan bagi membolehkan perkara itu dibincangkan.

“Saya cadang pada Yang Berhormat Ketua Pembangkang, tukarlah wakil mereka dalam majlis itu kalau tidak berpuas hati, sebab kita kena berhubung dan bercakap melalui majlis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina mengulas kebimbangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung keadilan dalam pelaksanaan urusan Parlimen termasuk pembahagian keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.