KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mencalonkan Morison LC PLT sebagai juruaudit luar baharu bagi menggantikan Kreston John & Gan, tertakluk kepada penyelesaian prosedur dan keperluan kawal selia berkaitan.

Menurut siaran media SCIB, syarikat itu sudah menyampaikan hasrat berkenaan kepada Kreston John & Gan melalui surat bertarikh 7 Oktober lalu serta meminta kelulusan yang diperlukan bagi memudahkan cadangan pertukaran juruaudit.

SCIB menyatakan cadangan itu adalah sebahagian daripada pengaturan tadbir urus korporat dan pelaporan kewangannya. Syarikat akan melaksanakan prosedur berkaitan mengikut keperluan berkanun serta kawal selia yang berkenaan.

Menurut syarikat itu, pertukaran yang dicadangkan dijangka tidak menjejaskan operasi perniagaan atau komitmen projek yang sedang berjalan. Aktiviti pembinaan, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta sistem binaan berindustri (IBS) di Sarawak dan Sabah akan diteruskan seperti dirancang.