TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata pada Jumaat bahawa pihaknya menyerang sebuah kapal tangki yang cuba menggunakan laluan haram untuk melalui Selat Hormuz yang cuba disekat oleh Teheran sejak tercetusnya perang di Asia Barat.

Penjejak maritim turut melaporkan pada Jumaat bahawa objek tidak dikenal pasti mencetuskan kebakaran di sebuah kapal di perairan pantai Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tetapi menamakan kapal yang berbeza.

Dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi, IRGC berkata, pasukan Iran telah mengambil alih pengurusan selat itu.

“Ketika melaksanakan misi ini, beberapa jam lalu, sebuah kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG) gergasi bernama NV Sunshine, milik NatWit, yang cuba melalui laluan haram di selatan Selat Hormuz, telah diserang,” menurut kenyataan itu.