Kota Kinabalu: Niat mencari kerang bertukar menjadi detik mengejutkan apabila seorang individu menemukan mayat lelaki terapung di laut berhampiran Pantai 2 Tanjung Aru, dekat Prince Philip Park, di sini, pagi tadi.

Penemuan jam 10.57 pagi itu dimaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, mayat dibawa ke tepi pantai dengan bantuan orang awam.

Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) tiba pada jam 12 tengah hari sebelum mengesahkan kematian lelaki berkenaan.