SEREMBAN – Sembilan bungkusan mencurigakan yang ditemukan di sembilan buah sekolah di Negeri Sembilan disahkan tidak mengandungi bahan letupan atau bahan berbahaya, sebaliknya hanya mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis berhubung penemuan bungkusan berkenaan, masing-masing lima kes di daerah Nilai dan empat kes di Tampin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.
Menurutnya, bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas penerima yang tertera pada bungkusan berkenaan tidak hadir untuk mengambilnya.









