PONTIAN: "Saya dah beritahu tak payah pergi sebab sekolah tutup hari ini. Tapi mereka berdua beriya-iya dan berkeras hendak pergi juga.
"Jadi, abangnya tolong hantarkan untuk puaskan hati mereka, nak tunjuk memang sekolah tutup. Tapi apakan daya, dalam perjalanan pulang mereka kemalangan".
Demikian kata Julaiha Munaji, 42, ibu kepada tiga beradik yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Parit Haji Sirat, di sini, pagi tadi.
Julaiha berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, supaya tidak perlu ke sekolah kerana semua sekolah di Johor ditutup susulan jerebu.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua anaknya tetap berkeras mahu pergi dan abangnya, Nor Daniel Aiman, 18, menghantar mereka pada sebelah pagi untuk membuktikan sekolah memang ditutup.








