am@hmetro.com.my
Gua Musang: Hancur hati dua beradik apabila ibu yang dinanti untuk menjemput pulang dari sekolah tidak kunjung tiba, sebaliknya berita duka diterima apabila insan tersayang itu meninggal dunia akibat kemalangan.
Nur Arissa Najla Mohd Shazuam, 13, dan Nur Amani Nuwairah Mohd Shazuam, 15, menanti penuh sabar selepas ibunya, Nor Hasyikim Daud, 34, berjanji untuk mengambilnya pulang dari sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku.
Nur Arissa Najla berkata, dia menerima berita ibunya kemalangan daripada seorang rakan pada jam 1.40 tengah hari.
Katanya, ketika itu dia bersama kakak sedang menunggu ibunya yang berjanji untuk mengambil mereka pulang dari sekolah.






