AYER KEROH: Seorang lelaki dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah sengaja memukul seorang wanita mengandung menggunakan kayu penyapu di Kampung Batu Berendam, pada Isnin lalu sehingga cedera di perut.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ermy Ezwan Mohd Razak, 26, selepas menerima pengakuannya selain meneliti fakta kes dan hujah pendakwaan.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 5 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja memukul Nurul Farhana Zainal Zaied, 36, menggunakan sebatang kayu penyapu sehingga cedera. Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Hajah Kalsom, kira-kira jam 7.45 malam.