KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini beliau terlalu berharap anak perempuannya itu sedar semula untuk menceritakan sendiri kejadian sebenar yang menimpa dirinya.

Noraidah Lamat, 46, berkata, beliau menghabiskan malam sendirian menemani Zara di hospital sambil dibelenggu seribu persoalan mengenai apa yang berlaku selepas melihat kesan darah pada bahagian kepala dan kaki anaknya.

"Bukan soal bermalam dengan Zara, tetapi saya lebih bimbangkan keadaannya. Apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa kepala Zara berdarah? Kenapa kaki Zara berdarah? Siapa yang buat begini kepada dia?

"Saya sangat berharap Zara akan sedar semula, membuka matanya dan dapat memberitahu saya apa yang sebenarnya berlaku," katanya ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri.