KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini, bertitah agar keselamatan dan kesihatan murid diutamakan dalam menghadapi situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.
Seri Paduka Baginda juga menasihatkan penutupan sekolah di kawasan terjejas, terutamanya yang mencatatkan tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) antara 150 dan 180 secara berpanjangan.
"Kementerian Pendidikan (KPM) mesti memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan (jerebu), langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori," titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim pada masa sama menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu.









