PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini memberikan kebenaran kepada Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid membabitkan 47 pertuduhan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan dua permohonan kebenaran merayu selepas mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam.

Dalam menyampaikan keputusan itu, Hashim berkata persoalan berkenaan memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.