KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedia berunding dengan mana-mana penyedia perkhidmatan bagi menambah fungsi tertentu dalam applet cip MyKad generasi baharu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, cip MyKad generasi baharu masih mempunyai ruang yang boleh dimanfaatkan untuk penambahan fungsi menerusi applet.

“Dalam cip itu sebenarnya ada ruang-ruang yang masih ada untuk kita masukkan (fungsi tertentu). Jadi, insya- Allah akan tambah baik dari masa ke semasa.

“Bukan tidak mahu membenarkan (fungsi tertentu) tetapi inisiatif lain ada untuk rakyat gunakan. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kesediaan penyedia perkhidmatan untuk bekerjasama dengan JPN,” katanya selepas program Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Taman Sinar Harapan Bukit Besar, di sini, hari ini.