KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti sebarang keputusan dibuat Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan menentukan sama ada terdapat kes untuk tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan yang telah dikemukakan.

“Siasatan pun telah selesai dan hasil siasatan telah dihantar kepada AGC dan Peguam Negara akan menentukannya, sama ada ada kes ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas Program Santuni Pesara di Telipot di sini hari ini.