JAKARTA: Indonesia melancarkan eksport bateri kenderaan elektrik (EV) pertamanya dan 11 projek industri hiliran bernilai AS$10.2 bilion di Taman Perindustrian Weda Bay Indonesia (IWIP) di Halmahera Tengah, Maluku Utara pada Khamis.

Presiden Prabowo Subianto berkata, projek berkenaan merangkumi empat kemudahan perindustrian yang mula beroperasi secara komersial dan tujuh projek baharu yang memulakan pembinaan, dengan eksport sulung bateri itu menandakan kemajuan Indonesia dalam membekalkan bateri EV keluaran tempatan ke pasaran luar negara.

"Eksport pertama bateri EV hari ini merupakan satu langkah penting. Ini bukti kukuh bahawa strategi perindustrian hiliran kita adalah tepat dan kita akan terus melaksanakannya sebaik mungkin," kata beliau di majlis pelancaran itu yang disiarkan secara langsung.