JOHOR BAHRU: Operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura tidak ditangguhkan, sebaliknya penyelesaian fizikal projek berkenaan kekal mengikut jadual pada 31 Disember ini sebelum pembukaan rasminya dijangkakan pada Februari tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan untuk memulakan operasi pada Februari 2027 itu dibuat secara bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura bagi membolehkan tempoh penimbal digunakan untuk penilaian keselamatan serta pengujian sistem secara komprehensif.
Katanya, pihaknya tidak mahu mengambil risiko dengan terburu-buru merasmikan projek merentas sempadan yang bakal digunakan oleh puluhan ribu pengguna setiap hari itu.








