TAWAU: Seramai 14 individu termasuk 13 pelajar ditahan polis bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan senjata oleh sekumpulan remaja di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, petang kelmarin.
Bagaimanapun 13 pelajar terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan bukan pelajar sekolah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata, semua individu berusia antara 12 hingga 14 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau semalam.
Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang kelmarin.








