RAUB: Keunikan bunga Rafflesia di Hutan Simpan Lata Jarum, Ulu Dong bukan sahaja menjadi tarikan ekopelancongan baharu, malah membuka peluang menjana pendapatan kepada komuniti setempat apabila 15 penduduk kampung dilatih dan dilantik sebagai pemandu pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal, berkata pembabitan penduduk tempatan itu memberi ruang kepada mereka memperoleh pendapatan menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.
"Terima kasih kepada Pejabat Perhutanan Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri sebab mereka juga melantik 15 penduduk kampung sebagai guide untuk bawa orang tengok bunga Rafflesia ini," katanya ketika ditemui selepas Program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Bunga Rafflesia di Hutan Simpan Lata Jarum, Ulu Dong, di sini.








