JOHOR BAHRU: Keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tidak akan menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Beliau sebaliknya berkata, keputusan itu tidak berkaitan kerana kerja-kerja fizikal serta persiapan teknikal di lapangan digerakkan sepenuhnya oleh pasukan kontraktor dan pihak operator yang dilantik.

“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan isu peletakan jawatan saya, kerja-kerja tetap berjalan seperti biasa. Bagi projek RTS Link, segala tugasan diuruskan oleh kontraktor dan pasukan bertugas.

“Kita di peringkat kementerian memang membuat keputusan dasar dan menjadi jurucakap projek, namun ia tidak akan memberi sebarang impak kepada perjalanan projek mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya.