KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan sebanyak 151 petak niaga sempena Bazar Deepavali 2026 yang buat julung kalinya dilaksanakan secara berpusat bagi menyusun semula aktiviti perniagaan dan mengurangkan gangguan lalu lintas di ibu negara.

Bazar yang berlangsung selama 30 hari bermula esok hingga 7 November itu akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu kawasan parkir Kompleks Tun Sambanthan, Jalan Tun Sambanthan 1 dan Jalan Bunus 6, Masjid India.

Daripada jumlah keseluruhan petak niaga tersebut, sebanyak 131 petak ditempatkan di Kompleks Tun Sambanthan, manakala baki 20 petak lagi disediakan di Masjid India.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pendekatan baharu itu diperkenalkan bagi mengatasi isu pertindihan aktiviti perniagaan yang sebelum ini dijalankan di sepanjang jalan raya dan laluan pejalan kaki.