nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 151 petak niaga disediakan sempena Bazar Deepavali 2026 yang akan berlangsung selama 30 hari bermula esok hingga 7 November nanti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemarakkan suasana perayaan Deepavali di ibu negara.

"Buat julung kalinya, penganjuran bazar ini dilaksanakan secara berpusat dengan 131 petak niaga berada di Tempat Letak Kenderaan Kompleks Tun Sambanthan, manakala 20 petak lagi di Tempat Letak Kereta Jalan Bunus 6, Masjid India.

"Selain menyediakan ruang kepada peniaga, bazar ini bakal menjadi antara tarikan sempena sambutan Deepavali dengan pelbagai pilihan makanan, minuman dan barangan serta aktiviti pentas sepanjang tempoh penganjuran," katanya ketika meninjau tapak bazar itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh di Tempat Letak Kenderaan Kompleks Tun Sambanthan, di sini, hari ini.