PETALING JAYA – Seramai 174 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi di sembilan premis perniagaan sekitar Seri Kembangan dan Bandar Baru Klang, Selangor, kelmarin.
Operasi bermula kira-kira pukul 7.30 malam itu turut menahan enam majikan warga tempatan kerana disyaki menggaji warga asing tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pada 7 Oktober lalu dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu.
Menurut beliau, seramai 149 pegawai pelbagai pangkat digerakkan dalam operasi berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan di premis yang disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran.










