JAKARTA – Langit kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi Kalimantan di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah gambut, menyebabkan kualiti udara merosot pada tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.

Menurut Kementerian Perhutanan, sebanyak 1,176 titik panas  dikesan di seluruh Indonesia  setakat semalam.

Memetik pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kementerian itu berkata, kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.

Jarak penglihatan di bandar Palangka Raya, Kalimantan Tengah merosot kepada hanya 150 meter pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Video  tersebar di media sosial menunjukkan langit berwarna jingga merah, asap tebal dan api merebak ke arah kawasan perumahan di beberapa bahagian di Kalimantan, mendorong panggilan untuk bantuan.