PETALING JAYA – Ketika beberapa negara di Asia Tenggara berdepan masalah jerebu akibat asap kebakaran hutan dan pembakaran terbuka, sebuah video tular di media sosial mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Video berkenaan memaparkan aktiviti penanaman semula kelapa sawit di kawasan tanah yang dipercayai baru sahaja terbakar di Indonesia, dengan keadaan tanah masih kelihatan hitam dan kesan kebakaran di sekitarnya.
Situasi itu seolah-olah menunjukkan aktiviti penanaman semula diteruskan seperti tiada apa yang berlaku, ketika asap tebal daripada kebakaran sebelum ini dilaporkan menjejaskan kualiti udara di beberapa negara jiran.
Lebih mengundang perhatian, ruangan komen video berkenaan dipenuhi kritikan netizen yang mempersoalkan kesan pembakaran terhadap alam sekitar, hidupan liar serta kesihatan penduduk di negara lain.









