KUALA PILAH – Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun cedera dipercayai dipukul pelajar senior dalam kejadian di asrama sebuah sekolah di daerah ini pada 27 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.40 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati remaja itu dipanggil ke sebuah bilik oleh pelajar senior berusia 16 tahun susulan perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
“Semasa berada di dalam dorm, mangsa dipercayai dipukul oleh suspek. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan tisu lembut atau soft tissue injury.










