KUALA PILAH: Seorang pelajar Tingkatan Dua cedera dipercayai akibat dipukul pelajar senior dalam bilik asrama sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 11.40 malam 27 September lalu

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki cedera selepas dikatakan dipukul pelajar lain dalam asrama sebuah sekolah menengah.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa berumur 14 tahun dipercayai dipanggil ke sebuah dorm oleh pelajar senior berusia 16 tahun susulan berlaku perselisihan faham antara mereka berdua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika berada di dalam dorm, beliau berkata, suspek didakwa memukul mangsa sehingga cedera sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAJ), di sini.