ALOR SETAR: Bina Darulaman Bhd (BDB) menerusi anak syarikatnya BDB Synergy Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi membina dan menyiapkan Integrated Business Centre (IBC) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap.
BDB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan projek di Plot PT2217, KRC itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dari tarikh penyerahan milikan tapak.
Skop kerja merangkumi pembinaan dan penyiapan bangunan IBC, kerja luaran, pemasangan elektrik dan mekanikal, kerja cerucuk serta kerja-kerja berkaitan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din, berkata kontrak berkenaan mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan BDB Synergy dalam melaksanakan projek kejuruteraan dan pembinaan, termasuk yang dianugerahkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan.










