JOHOR BAHRU: Juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC bertekad mempamerkan aksi permainan agresif bagi mencari permulaan positif apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, di sini berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kejuaraan Kelab Asean (ACC) Piala Shopee 2026/27, malam ini.

Pengendali Svay Rieng, Matthew McConkey berkata, pasukannya hadir dengan keyakinan tinggi untuk memberikan saingan sengit walaupun sedar akan kelebihan yang dimiliki skuad Harimau Selatan di tempat sendiri.

“Kami tahu perlawanan ini bakal menuntut kerja keras, namun kami yakin mampu menampilkan persembahan berkualiti dan meraih keputusan positif. Musim lalu kami mencatat keputusan seri 2-2, namun situasi kali ini berbeza memandangkan kedua-dua kelab telah melakukan banyak perubahan pemain. Pendekatan kami tetap sama iaitu mengawal permainan dan kekal agresif di padang,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.