JAKARTA: Langit kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi Kalimantan di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan kualiti udara ke tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.

Menurut Kementerian Perhutanan, sebanyak 1,176 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat malam Rabu.

Memetik pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kementerian itu memaklumkan kualiti udara telah mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.

Jarak penglihatan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, merosot kepada hanya 150 meter pada 12.30 tengah hari Rabu, dengan peramal BMKG Chandra Mukti berkata angin yang lemah menghalang penyebaran asap.