KUALA LUMPUR: Jabatan mufti, jabatan agama dan pihak berkuasa Persekutuan serta negeri mesti memberi kefahaman mengenai gerakan New Age Movement (NAM) yang jelas menyebarkan unsur bercanggah akidah Islam.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, berkata pendakwah perlu menggunakan media sosial untuk mengekang pelbagai ajaran sesat yang juga disebarkan menerusi platform dalam talian.
Katanya, fahaman New Age Movement perlu disekat melalui rangka tindakan yang pelbagai memandangkan ia terlalu mudah masuk dalam pelbagai bentuk yang tidak menampakkan ia sesat, namun realitinya membawa ajaran yang terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Asmadi berkata, New Age Movement paling mudah masuk melalui kursus pembangunan kendiri, seminar 'healing' dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, tetapi sebenarnya menyesatkan.









