MELAKA: Minyak masak peket bersubsidi dijual kepada pengumpul minyak masak terpakai untuk meraih untung atas angin RM1.50 hingga RM2 bagi setiap kilogram.

Itu modus operandi sindiket yang menjadikan sebuah rumah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini sebagai pusat pengumpulan sebelum dijual ke pasaran komersial.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi tadi, dua lelaki berusia 45 dan 53 tahun ditahan selain merampas kira-kira 425 kilogram minyak masak bernilai RM1,062.50.

Menurutnya, lokasi itu bukan sahaja menyimpan minyak masak peket bersubsidi, malah terdapat tong, kotak dan minyak masak terpakai yang dipercayai dicampurkan sebelum dikomersialkan kepada pihak ketiga.