sukan@hmetro.com.my

Putrajaya: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 akan memastikan segala persiapan temasya dwitahunan itu berjalan mengikut garis masa, peruntukan dan tatakelola yang ditetapkan bagi mengelakkan masalah pengurusan serta kewangan pada saat akhir.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, persiapan kini berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan dengan MASOC mengadakan mesyuarat secara berkala bagi memastikan setiap proses penganjuran berjalan lancar.

Katanya, aspek tatakelola dan pematuhan bajet menjadi keutamaan bagi memastikan setiap perancangan serta pelaksanaan dibuat mengikut garis panduan sedia ada.

"Jawatankuasa MASOC bermesyuarat dari hari ke hari untuk memastikan sebarang proses dapat berjalan dengan baik dan lancar, memenuhi tatakelola yang betul serta kos dan bajet yang sudah ditetapkan. Kita nak pastikan sebarang penganjuran dan apa jua yang dilaksanakan mestilah mengikut garis panduan sedia ada dan tatakelola yang baik," katanya selepas Majlis Pelancaran Program Realiti Jaguh Rakan Muda Musim Kedua di Menara KBS, hari ini.