TANJONG KARANG: Tiga mangsa yang maut dan seorang lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Jalan Raja Muda Musa menghala ke Tanjong Karang, hari ini, disahkan sekeluarga.

Mereka yang terkorban ialah masing-masing seorang wanita berusia 44 tahun, kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun, dan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pula cedera di kepala.

Kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku apabila MPV jenis Proton Exora dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori 20 tan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.37 tengah hari berhubung kejadian itu.