KUALA LUMPUR: Lee Zii Jia meneruskan langkah di Terbuka Artik apabila menundukkan wakil Taiwan, Su Li Yang, dalam aksi pusingan 16 untuk menempah tiket ke suku akhir kejohanan di Finland itu, hari ini.

Pemain perseorangan profesional lelaki negara itu mengambil masa 46 minit untuk melakar kemenangan 21-17, 21-12, sekali gus meneruskan momentum positif selepas sebelum ini menewaskan pemain China, Dong Tian Yao, pada pusingan pertama.

Zii Jia bermula dengan baik apabila segera memberikan tekanan kepada Li Yang menerusi permainan pantas dan serangan agresif, namun wakil Taiwan itu kekal memberi tentangan untuk memastikan jurang mata tidak terlalu jauh.

Selepas mendahului 11-9, Zii Jia terus mengawal permainan dan tidak membenarkan Li Yang menaikan rentak sebelum menutup set pertama 21-17.