sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lee Zii Jia meneruskan langkah di Terbuka Artik apabila menundukkan wakil Taiwan, Su Li Yang, dalam aksi pusingan 16 untuk menempah tiket ke suku akhir kejohanan di Finland itu, hari ini.
Pemain perseorangan profesional lelaki negara itu mengambil masa 46 minit untuk melakar kemenangan 21-17, 21-12, sekali gus meneruskan momentum positif selepas sebelum ini menewaskan pemain China, Dong Tian Yao, pada pusingan pertama.
Kemenangan itu cukup penting buat Zii Jia yang sebelum ini mengakui sedang berusaha mendapatkan semula tahap terbaik selepas bergelut dengan prestasi sejak dua tahun lalu.
Terbuka Artik juga mempunyai nilai sentimental buat pemain kelahiran Alor Setar itu apabila beliau pernah muncul juara pada 2023 dan mara ke suku akhir pada 2024 sebelum tidak beraksi pada edisi tahun lalu akibat kecederaan.










