KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 169,346 keping MyKad Generasi Baharu di seluruh negara dalam tempoh 17 September hingga 6 Oktober lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata Kuala Lumpur merekodkan jumlah pengeluaran tertinggi iaitu sebanyak 20,592 MyKad, diikuti Johor (18,871)
Sarawak (15,700), Sabah (13,711), Selangor (13,425) dan Terengganu (6,227).
"Sambutan itu amat positif apabila jumlah pengeluaran harian kini mencecah antara 10,000 hingga 10,500 keping.
"Jumlah itu meningkat sangat ketara berbanding purata sebelum ini iaitu kira-kira 3,500 hingga 4,000 keping sehari," katanya pada sidang media selepas Program Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini, hari ini.










