KUALA TERENGGANU – Sebanyak 169,346 MyKad generasi baharu telah dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara sejak 17 September lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pengeluaran tertinggi direkodkan di Kuala Lumpur sebanyak 20,592 diikuti Johor (18,871).

“Tiga negeri lain yang mencatatkan pengeluaran tertinggi ialah Sarawak (15,700), Sabah (13,711) dan Selangor (13,425). Bagi Terengganu pula, sebanyak 6,227 MyKad generasi baharu telah dikeluarkan setakat ini,” katanya pada program Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, di sini, hari ini.

Badrul Hisham, sambutan orang ramai terhadap MyKad generasi baharu amat positif dengan pengeluaran harian kini mencecah antara 10,000 hingga 10,500 keping.