KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN), memperkukuh kepimpinan Lembaga Pengarah dengan pelantikan Datuk Seri Dr Zukri Samat sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 12 Oktober ini, menggantikan Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Pelantikan itu membawa pengalaman luas Zukri dalam sektor perkhidmatan kewangan, perbankan Islam, pengurusan aset dan institusi awam bagi menerajui BSN ke fasa seterusnya.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi BSN, Zukri pernah memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dari 1 November 2023 hingga 31 Oktober 2025.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), selain Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd serta Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.